Blogger Templates

Internet : Tempat Penjanaan Kebencian dan Jenayah?


Dengan wujudnya rangkaian World Wide Web, individu dan organisasi boleh memaparkan sebarang maklumat dengan senang. Namun sekiranya ini digunakan untuk tujuan yang tidak baik maka ia akan membawa pengaruh yang negatif terhadap kehidupan bandar. Contohnya, pengeboman di bandar Oklahoma dipercayai hasil sebaran maklumat melalui internet(Meyer, 1999).

Merujuk kepada konteks Malaysia, terdapat banyak maklumat berasaskan kebencian berterbangan dalam rangkaian Internet. Kesemuanya ditujukan kepada sesetengah pemimpin negara. Gejala sedemikian berupaya menjanakan kebencian dan kekeliruan di kalangan pengguna internet yang mempercayai terus maklumat yan diperolehi. Ini boleh mencetuskan kekacauan di dalam bandar dan mengancam keselamatan serta ketenteraman bandar. Rusuhan-rusuhan telah berlaku beberapa bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur dan ini berpotensi dicetuskan selagi masyarakat tidak mempunyai pemikiran kritikal untuk menilai kesahihan maklumat tersebut.

Selain itu, Internet juga membawa maklumat-maklumat lucah yang boleh menjanakan masalah sosial terutamanya jenayah. Rangkaian internet boleh juga menjadi saluran tidak sihat untuk melakukan jenayah. Merujuk kepada pengalaman Singapura, tahun ini, lima gadis dan seorang wanita telah dirogol oleh "kawan" yang mereka kenali melalui internet atau telefon(Star, 1999). Singapura merupakan satu negara pengguna Internet yang tinggi disebabkan dasar kerajaannya untuk menggalakkan kecelikan komputer bagi menghadapi kemajuan abad ke-21.
Justeru itu, dalam ucapan Perdana Menterinya pada 3-7-1998 di dalam Mesyuarat Menteri APEC yang Ketiga untuk telekomunikasi dan industri maklumat, beliau telah menyarankan ancaman pengaruh Barat melalui teknologi maklumat(Arun, 1999).

KEPERLUAN UNTUK CELIK MAKLUMAT


Dalam era maklumat, celik maklumat adalah amat penting untuk membolehkan seseorang bersaing dalam dunia perdagangan dan pasaran pekerjaan. Kecelikan maklumat amat penting tidak kira seseorang itu bekerja di rumah atau di pejabat. Orang dengan kemahiran internet mendapat maklumat yang lebih, mengetahui lebih banyak isu semasa, dan dapat mencari maklumat dengan lebih cepat berbanding dengan orang berpendidikan tinggi yang kurang kemahiran tersebut. Namun kecelikan maklumat juga memerlukan pemikiran kritikal. Tanpanya seseorang tidak dapat menilai kualiti maklumat yang diperolehi daripada rangkaian maklumat.
Selain itu, untuk hidup dalam zaman teknologi maklumat, jika seseorang tidak ingin dilihat sebagai seorang yang ketinggalan zaman maka seseorang perlu celik maklumat dan mempunyai kemahiran asas sekurang-kurangnya untuk mengikuti perkembangan semasa. Bayangkanlah betapa tidak sesuai sekiranya seseorang cuba bersaing dalam dunia perdagangan pada tahun 2020 dengan menggunakan komputer Pentium 3(diubah daripada Robins, 1987).

Media-media tempatan harus memberi tumpuan kepada penjanaan pemikiran penduduk. Program yang disalurkan sebaik-baiknya jenis yang menggalakkan penilaian serta pemikiran masyarakat. Masyarakat maklumat adalah masyarakat yang boleh berfikir; bukan semata-mata pengguna sahaja. Begitu juga halnya dengan institusi pengajian tinggi tempatan harus memberi perhatian yang lebih dalam melahirkan graduan yang boleh berfikir daripada melahirkan juruteknik yang menjadi hamba kepada kolonialisme elektronik.




KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT KEPADA NEGARA


a) Pengangkutan
Bayangkan anda sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu sejam di atas lebuhraya yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali kenderaan di lorong sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen. Pelik? Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari dalam Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya mengurangkan 1.2 juta pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta ringgit akibat kemalangan.

Namun isu timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem sebegini. Sediakah mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas tersebut kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal, kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan dalam rekod antarabangsa.

Walaubagaimanapun, bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem automasi tersebut, Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak 1991 dan ia masih dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem Pengangkutan Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.

Selain itu, Kenderaan Pintar diperlukan untuk membantu pengendali dalam pengendalian kenderaan, persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah kesesakan. Salah satu elemen kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS) yang menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.

Di samping itu, salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem Kedudukan Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan Kenderaan telah mula dipasarkan di Amerika Syarikat.

Untuk melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan diperlukan untuk mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington, Kentucky telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer, 1999). 



Pengangkutan Laut
Dengan wujudnya Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB), pelayar-pelayar dengan mudah boleh menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan Global dan bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer seperti Y2K boleh memberi pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun dilemma komputer tersebut boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah penentuan lokasi(Star, 21-8-1999).

b) Perubatan

Membantu Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas

10 daripada 100 orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang cacat mengalami halangan dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod suara.

Selain itu, komputer juga memberi peluang sosial baru kepada orang cacat melalui penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di samping itu, terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini mudah. Mesyuarat boleh dijalankan bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.

Tele-Perubatan

Dalam keadaan tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan beban doktor(Laver, 1989). Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.

Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu, pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.

Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.


c) Seni dan Hiburan

Digital

Dewasa ini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
Penduduk bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh teknologi maklumat.

Namun harus diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit. Masalah cetak rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan kemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan kuantitinya apabila digunakan.

Dunia Maya

Ia adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata(reality). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunit nyata. ia merupakan satu ruang yang membolehkan penduduk membuat pilihan samada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu.

Contohnya seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh memilih bandar nyata atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai utopia maka dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam bandar tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.

d) Rekreasi

Dengan wujudnya teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat dengan cepat dan tepat, kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu kerja yang lebih bebas serta pendek. Ini adalah kerana seseorang tidak perlu meluangkan masa untuk pergi ke pejabat, tersesak atas jalanraya, makan di luar dan sebagainya. Kesannya masa rekreasi penduduk akan bertambah dan ini akan mempengaruhi penawaran jenis perkhidmatan pada masa depan.



PERANAN UMAT DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT

Bagi kita umat islam, perkembangan teknologi maklumat pastinya menjadi suatu rahmat, peluang dan cabaran kepada kita. Kedudukan semasa sekarang ini menjadi sesak dengan kecanggihan maklumat dan telekomunikasi yang menghubungkan manusia dengan tanpa sempadan. Dengan kecanggihan maklumat ini kita memperolehi pengetahuan yang akan menentukan setiap keputusan dan tindakan. Sebagai umat islam yang mengaku beriman kepada Allah ta'ala,apabila berbicara mengenai kecanggihan teknologi maklumat sewajarnya mengingatkan kita kepada kecanggihan wahyu Ilahi. Kita harus memandang kecanggihan teknologi maklumat ini sebagai suatu rahmat dan cabaran daripada Allah ta'ala untuk menguji sejauhmana keimanan kita kepada Allah, terpulang kepada kita untuk memanfaatkan teknologi maklumat ini sama ada untuk menggunakannya ke arah kemajuan manusia sejagat berlandaskan islam atau sebaliknya.